Pengalaman Bekerja Rasulullah SAW
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai anak yatim piatu telah melalui
berbagai pengalaman pahit manis kehidupan sejak usia kecil lagi.
Rentetan pengalaman itu telah memberi kesan besar dalam kehidupan dan
sikap berdikari Baginda, tanpa terlalu bergantung harap pada orang lain.
Aisyah r.a. ditanya: “Apakah yang dikerjakan Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam di rumahnya?” Aisyah r.a. menjawab: “Baginda adalah
seorang manusia biasa, Baginda adalah seorang yang mencuci bajunya
sendiri, memerah susu kambingnya sendiri, dan melayani dirinya sendiri.”
(Diriwayatkan oleh Muhammad bin Isma’il, dari’Abdullah bin Shalih, dari
Mu’awiyah bin Shalih, dari Yahya bin Sa’id, yang bersumber dari
`Amrah).
Berkata Al-Hasan ra. lagi: Aku juga pernah menanyakan
ayahku tentang masuknya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lalu dia
menjawab: “Masuknya ke dalam rumahnya bila sudah diizinkan khusus
baginya dan apabila dia berada di dalam rumahnya dibahagikan masanya
tiga bahagian. Satu bahagian khusus untuk Allah ta’ala, satu bahagian
untuk isteri-isterinya, dan satu bahagian lagi untuk dirinya sendiri.
Kemudian dijadikan bahagian untuk dirinya itu terpenuh dengan urusan di
antaranya dengan manusia, dihabiskan waktunya itu untuk melayani semua
orang yang awam mahu pun yang khusus, tiada seorang pun dibezakan dari
yang lain. Di antara tabiatnya ketika melayani ummat, dia selalu
memberikan perhatiannya kepada orang-orang yang terutama untuk
dididiknya, dilayani mereka menurut kelebihan diri masing-masing dalam
agama.”
Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam tidak suka
menganggur dan bermalas-malasan. Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam
sentiasa mengucapkan: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari
kemalasan, ketidakupayaan dan sesuatu yang tak ada nilainya.” Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam selalu menyuruh kaum Muslimin untuk kuat
bekerja dan kreatif. Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam juga
selalu mengatakan bahawa kemuliaan itu mempunyai tujuh bahagian, dan
bahagian terbaiknya adalah mencari rezeki dan nafkah dengan halal.
Pekerjaan Rasulullah SAW
Semenjak Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam masih kecil seusia 2
tahun lagi, baginda telah mengembala kambing kepunya’an Bani Sa’ad, di
kawasan pendalaman sehingga usia Baginda 5 tahun.
Baginda juga
selama beberapa tahun menggembala kambing orang-orang Makkah di kawasan
Qararit sehingga menglangkah ke usia remaja.
Ketika berusia 12 tahun, bapa saudaranya Abu Talib telah membawa baginda ke negeri Syam (Syria) bagi membantunya berniaga.
Pada umur 15 tahun, Baginda turut menyertai peperangan Fijar beberapa
hari dan diberi peranan mengumpulkan anak-anak panah sahaja. Kesan
daripada perang Fijar itu adalah terjadinya ‘Hilful Fudul’ iaitu
perjanjian damai antara bani hasyim, bani Abdul Muthlib dan Bani Asad
pada bulan Zulkaedah bagi mencegah segala kezaliman dan memberi
pertolongan kepada orang yang dizalimi di Makkah.
Apabila
Baginda telah agak dewasa, Baginda telah mula menjalankan perdagangan
sendiri secara kecil-kecilan dan menjalankan perniagaan dengan
menggunakan modal orang lain kerana Baginda sedar bapa saudaranya
bukanlah terdiri daripada orang yang berada dan beliau terpaksa menyara
sebuah keluarga yang besar.
Ketika berusia 25 tahun, Baginda
telah pergi ke Syam untuk kali kedua bagi menjalankan perniagaan
Sayidatina Khadijah. Barangan yang dibawa berniaga oleh Baginda
Sallallahu Alaihi Wasallam termasuklah herba, kain, wangian, kismis,
kurma dan juga barangan mewah untuk dijual kepada mereka yang berada.
Ada satu ketika di waktu berniaga, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
telah memperolehi keuntungan lumayan lebih dari usahawan-usahawan lain
dalam rombongan yang sama. ini menunjukkan kehebatan Baginda Sallallahu
Alaihi Wasallam dalam bidang perniagaan!
Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam merupakan seorang yang pengasih. Sebagai seorang suami,
Baginda sering membantu isteri menjalankan urusan rumah seperti memasak,
menampal pakaian yang koyak, memmbersih rumah dan menjaga anak.
Sebagai seorang bapa, Baginda memberi pendidikan agama yang secukupnya
dan menjadi seorang contoh yang baik kepada anak-anak. Rasulullah adalah
seorang ketua keluarga yang patut dicontohi.
Bermula dari usia
40 tahun, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melakukan usaha
dakwah bagi menerang dan menyebarkan ajaran Islam, agama suci yang
sebenarnya sehingga Baginda wafat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar